PERCUTIAN 4HARI 3MALAM DI PULAU LANGKAWI, KEDAH!

8:25 pm

 Assalamualaikum semua. Selamat Tahun Baru 2022!


  Siapa kat sini kaki berjalan?  Siapa kat sini dia suka pergi ke Pulau Langkawi? Berapa kali dah korang sampai sini sepanjang usia korang? Kalau tanya Kak Kelly ni dah kali kelima sampai sini termasuklah masa kecik dulu. Tapi tolak tepi lah masa kecik tu eh sebab Kak Kelly takde memori nak ingat dan nak share kat sini. Anggap jelah ni percutian pertama kami semasa dewasa.


Best sangat ke Pulau Langkawi ni? Ada apa yang menarik sangat dengan Pulau Langkawi ni sampaikan ramai orang berpusu-pusu ke sini? Jujur Kak Kelly cakap dulu Kak Kelly macam skeptikal sikit. Rasa macam biasa biasa je kut kat Langkawi ni. Best lagi kalau pergi Penang  ke Cameron Highlands ke. Padahal belum jejak lagi dah cakap tak best. Sekali bila dah pergi sana tak cukup masa oii. Rasa nak sambung cuti. Rasa tak puas. Rasa nak call bos, " Hello bos! Boleh tak saya nak sambung cuti lagi? Saya macam tak nak balik KL lagi lah LOL 😂".


Untuk entri ni Kak Kelly akan sharing itinerari dulu ya, apa aktiviti yang kami buat kat sana, pilih pakej dengan agensi mana, menginap kat mana, berapa bajet keseluruhan dan lain-lain. Untuk aktiviti lebih details Kak Kelly akan buat entri khas setiap satu topik ya. Nanti korang boleh klik je kat icon bar sebelah ni. Cari Langkawi then korang tekan je situ tau.


Baiklah jom kita start. Pertama sekali untuk percutian ke Pulau Langkawi ni kami memutuskan untuk pergi ke sana selama 4 hari 3 malam. Kami pergi bertiga sahaja iaitu dengan dua orang sepupu Kak Kelly. Kami memilih Air Asia sebagai pengangkutan kami ke sana.


A) Tiket Flight Air Asia

Kami booked tiket flight waktu tengah promo. Kalau tak silap tiket pergi RM 76 tiket balik pun RM 76 jugak. Belum termasuk luggage, cukai dan insurans. Nak share lebih details dah lupa pulak since yang booked tiket ni tugas sepupu Kak Kelly. Kak Kelly ringkaskan sahaja total keseluruhan untuk tiga orang dewasa ialah RM 670.77. Kami memang ada ambil luggage pergi 20kg atas satu nama, balik setiap nama 15kg. Itulah total kesemuanya sekali.


B) Kereta Sewa

Kami sewa kereta Axia sahaja untuk bergerak ke mana-mana sepanjang di Langkawi. Disebabkan pergi waktu public holiday dan cuti sekolah pula, harga pun agak mahal sikit dari hari biasa. Kak Kelly ringkaskan jugak lah total sewa kereta 3 hari sebanyak RM 260. Terkejut bukan. Terkejut lagi saya yang membayarnya *cek beg duit . Isi minyak RM 50 jimat sangat tau. Masa pulang kereta ada lagi 3 takuk minyak.


C) Hotel

Untuk hotel ni kami decided untuk menginap di dua tempat berlainan. Reason menetap tempat lain-lain ni kononnya dua hari tu nak jalan area Cenang dua hari lagi nak jalan ke Kuah pulak. Dekat Cenang kami menginap di Pondok Muara Chalet. Manakala di Pekan Kuah kami menginap di The Greenish Hotel.

Dekat Pondok Muara Chalet kami menginap selama 3 hari 2 malam dengan total RM 231. Bahagi tiga, sorang bayar lah RM 77. Oh ya chalet ni kenakan RM 50 sebagai deposit ya so in case korang menginap kat sini standby cash tau.


Pondok Muara Chalet. Tak sempat nak selfie sangat sebab tengah check out dan berkejar ke trip seterusnya.


Manakala dekat The Greenish Hotel pula, tidur satu malam pada malam ketiga kat sana. Mudah sebab dekat dengan tempat shopping, nak round area Kuah pulak. Kat sini total satu malam RM 86.64 termasuk tax. Macam biasa ada deposit RM 50 ya. Nanti masa nak check out dia akan pulang balik.


Belanja sekeping gambar dulu. 
Belakang kami tu lah The Greenish Hotel.


HARI PERTAMA DI PULAU LANGKAWI - 23 DISEMBER 2021


Turun sahaja dari flight, kami terus dapatkan kereta sewa yang sudah ditempah awal dan cari pam minyak berdekatan untuk isi minyak. Perut dah lapar sebab tak breakfast lagi. Kami apa lagi terus bukak waze cari kedai makan yang ada dalam wish list.


1) Makan-makan di Che Nah Restaurant


Rasa macam tak percaya bila dapat jejak kan kaki kat restoran paling popular di Langkawi ni. Kenapa popular? Sebab kedai makan Che Nah ni terkenal dengan menu Roti Canai Blackpepper! Haa macam mana tu? Jom tengok gambar.


Tadaaa. Sekali lagi macam tak percaya je bila dapat jamah Roti Canai Blackpepper ni. Kalau korang datang Langkawi, wajib breakfast kat sini tau! Lokasi kedai terletak di Jalan Kedawang, Langkawi. Kitorang repeat tiga kali makan sini hehe. Roti ni adalah sekeping roti canai yang dilapik oleh telur, isi dalam dia depends nak apa, nak ayam, daging atau kambing. ada hirisan bawang dan paling penting, haruslah disirami bersama sos blackpepper homemade, sos cili sikit, mayonis sikit done. Rasa tak cukup sekeping. Sos dia memang pedas ya. Tapi puas hati makan. Sedap! Kak Kelly punya kambing + daging jadi harga RM 14 kalau tak silap. 5/5 akak bagi.


2) Naik kereta kabel Sky Cab Langkawi & rentas Sky Bridge



Selepas breakfast kami terus bergerak ke Sky Cab pulak. Ala, kereta kabel yang tersohor di Langkawi tu. Tingginya bila ada kat atas Gunung Mat Chinchang ni. Pastu bergayut pulak dekat jabatan gantung AKA Sky Bridge tu. Kita memang gayat wak. Tapi beranikan diri lah naik jugak.


Dalam kereta kabel.


Bila ada kat atas, Subhanallah cantiknya pemandangan dia. Angin sejuk menampar lembut di muka. Kak Kelly dapat menyaksikan sendiri awan kabus berarak mengikut angin. Amik lah gambar 100 keping sekali pun. Edit lah cantik macam mana sekalipun. Tak kan dapat menandingi dengan pengalaman pergi dan rasai sendiri tempat ni. Korang kalau pergi Langkawi ni please lah at least sekali seumur hidup kena naik Sky Cab ni. Dah naik tu kena pergi Sky Bridge dia. Walaupun penat dan sakit kaki sekurang-kurangnya kau dah jejak tempat ni.


Bila kau rentas jambatan gantung ni ada lah rasa goyang sikit. It's okay. Teruskan saja perjalanan anda. Jangan toleh ke bawah. Hihi.





3) Jom tengok apa yang ada di Sky Dome, Sky Rex & 3D Art Gallery

Dah selesai naik atas tu jangan lupa singgah tarikan kat bawah ya. Banyak lagi tarikan best-best kat bawah tu. Kalau korang beli tiket online usually dia dah include sekali pakej 5 in 1 termasuk tiga item atas ni. Ada tarikan lain lagi seperti Selfie Ria (food museum), 6D Cinemotion dan banyak lagi. Harga tiket masa beli dulu tahun 2020 tengah rancak promosi. Kak Kelly beli dengan harga RM 38 siap fast lane lagi. Harga promosi dia berubah-ubah tau, jadi korang kena alert lah dengan promosi semasa. 

Sky Dome



Dilengkapi dengan 12 projektor, SkyDome menawarkan 360 darjah unjuran gambar 3D yang dengan mudah mampu meliputi keseluruhan pandangan anda. Kehangatan diangkat ke dimensi lain dan dipertingkatkan lagi dengan definisi tinggi (HD), Ia pasti akan memberikan anda pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Sekarang, berehat dan biarkan diri anda membawa diri anda ke tahap yang seterusnya. *dipetik dari website Sky Cab


Sky Rex







Sky Rex ni yang paling kami enjoyed! Sebabnya kau seolah-olah sedang menonton wayang tapi rasa real dan berada dekat situ dengan dinasour ganas disekeliling kau. Takut tak? Rasa dada gemuruh weh. Kau akan disuruh duduk dalam trem ni dan dibekalkan spek mata 3D. Pastu enjoy the show. Sayangnya sikit sangat masa diberi. Adalah dalam 5 minit macam tu. Tak puas.

3D Art Gallery


Terletak di sekitar Oriental Village, dengan bangunan seluas 21.000 kaki persegi, ia menampilkan lebih dari seratus lukisan interaktif 3D, yang dilukis secara artistik oleh sekumpulan seniman antarabangsa yang berbakat. Ini merupakan produk khas lain dari Langkawi SkyCab dengan kerjasama Art In Paradise Langkawi yang memberikan dimensi dan pengalaman baru kepada pengunjung. *dipetik dari website Sky Cab


4) Pekena Laksa Ikan Sekoq Laksa Power di Padang Matsirat

Dah penat berjalan perut rasa lapar dan tekak rasa dahaga. Jom lah kita pergi check in di Pondok Muara Chalet. On the way ke chalet kami akan lalu jalan airport. Nampak lah kami akan lori lori penjaja yang jaja laksa ikan sekoq ni. Apa lagi jom singgah alang-alang dah sampai.




Datang Langkawi kalau tak pekena laksa ikan sekoq ni rasa tak lengkap itinerari. Wajib cuba bagi peminat laksa di luar sana. By the way kat sini ada banyak je lori yang jual laksa ikan sekoq ni. Kami dah lupa nama lori lain. Yang kami ingat tempat kami makan ni je. Kalau tak salah nama dia laksa power. Pekena dengan ayaq nyok fuh rasa dah recharge balik bateri ni. Mata yang mengantuk terus segar balik. Tapi kaki sakit tak boleh buat apa haha.


Lepas siap makan terus check in chalet. Badan dah letih jugak sebenarnya sebab dari jam 4 pagi dah celik biji mata nak sesiap datang sini. Malam takde aktiviti sangat just cari makan, jalan-jalan ke Pantai Cenang, tengok orang buat fire show kejap pastu balik. 



HARI KEDUA DI PULAU LANGKAWI - 24 DISEMBER 2021


1) Sarapan di Che Nah Restaurant


Kami makan di gerai yang sama tau. Cuma hari kedua ni terasa nak makan nasi lemak. Nak tau berapa harga sepinggan nasi lemak ni bersama segelas milo ais? RM 8.30 je uolls. Lagi sekali aku terkejut. Murahnya nak nangis rasa. Di KL ni sudah berbelas aku rasa.


2) Mangrove Tour



Mangrove Tour ni salah satu aktiviti wajib bila korang datang sini. Kilim Geoforest Park ni terletak di sebelah utara Langkawi. Aktiviti ni lebih kepada menyusuri Sungai Kilim Geoforest Park menggunakan speed boat. Sepanjang trip ni nanti korang akan dibawa ke Gua Kelawar, menyaksikan pertunjukan ikan di Fish Farm, boleh order makan tengahari di Restoran Terapung, tengok burung helang, mandi dekat Private Beach, pergi ke Laut Andaman, bagi ikan makan kat Pulau Dangli dan banyak lagi lah yang tour guide akan bawak korang nanti. Ia juga bergantung pada pakej yang korang ambil. Boleh tengok website sini untuk details dan booking Langkawi Go Tours .


3) Lunch di Kedai Kak Yan Nasi Campur

Kami tak makan dekat restoran terapung tu pun sebab memang dalam itinerari nak pergi makan kat sini.


Kedai Kak Yan Nasi Campur ni memang terkenal di Langkawi ya. Kedai makan ni terkenal dengan lauk pauk yang sangat banyak dan juga murah! Ada banyak pilihan lauk pauk yang dihidang. Nak bakar-bakar? Gulai panas? Lauk beraneka lain pun ada tau!


Kak Kelly memang tak makan banyak pun. Cukup ada ikan / ayam seketul, nasi separuh, kuah sup / gulai, sayur sesenduk. Dah cukup! Ni pun sayur tak ambil. Nak tahu tak berapa kos makanan di atas? RM 8.30 je uolls. Ini dah berapa kali terkejut dah. Sepanjang datang Langkawi ni aku banyak kali terkejut. Dah lah aku penat lah terkejut 😂.


4) Bergambar di Datarang Lang


Kalau datang ke Langkawi tak sah rasanya kalau tak singgah ke Dataran Lang ni. Ambil lah sekeping dua gambar buat kenangan. Masa kami datang ni jam menunjukkan pukul 5 petang. Nasib baik orang tak ramai sangat. Sporting je pelancong sini tolong amik kan gambar. Turn dorang pulak kami tolong ambilkan gambar. Rasa nak menangis kejap sebab ada rezeki dapat jejak kaki kat sini. Sobs sobs.


5) Dinner di Steamboat & Grill Kuala Melaka, Teriang, Langkawi




Kak Kelly kehabisan idea dah nak makan mana malam tu. Try bukak group facebook Langkawi Hari Ini ada posting mengenai kedai steamboat & grill maka apalagi terus call book tempat sebelum nak pergi Dataran Lang tu lagi. Harga RM 25.90 per head. Kalau nak add on kambing perap hanya RM 10 sepinggan.

The food was so good, fresh and delicious. Kuah tomyam dia Ya Ampun sedap namatey. Makan bersama sepinggan nasi putih habis licin ku kerjakan. Silap besar Kak Kelly tak amik gambar tempat tu dengan lebih details. Maybe sebab dah lapar miahaha.

After dinner takde pergi mana dah sebab dah lewat time tu. Cuma kami sempat mendobi baju kotor untuk pakai hari esok. Takdelah simpan baju kotor lama-lama kan.



HARI KETIGA DI PULAU LANGKAWI - 25 DISEMBER 2021


1) Breakfast kali ketiga di Che Nah Restaurant


Dah cakap kan tadi kitorang breakfast kat sini tiga pagi berturut-turut LOL 😂. Kalini order dua keping terus. Satu ayam satu daging. Air milo pun dua gelas order sebab tak cukup. Saje aku order lebih sebab aktiviti seterusnya kinda challenging.

2) Jet Ski Tour Island Hopping



This activity is really challenging for me! Kak Kelly ambil pakej Jet Ski Tour selama 4 jam bersama agency Langkawi Go Tours . Boleh klik link untuk lebih details. Untuk pengetahuan korang, ada beza ya antara jet ski tour dengan jet ski for fun. Jet ski for fun dia bagi kau bawak jet ski area berdekatan je. Nak merasa pengalaman naik dan bawak tu je. Usually dalam tempoh 10-15 minit macam tu.

Jet ski tour ni dia seperti island hopping yang selalu naik boat tu. Bezanya korang pergi island hoppping ni dengan naik jet ski. Korang sendiri yang pandu jet ski ni dengan iringan tour guide. Korang akan dibawa ke pulau-pulau, Tasik Dayang Bunting, Tasik Eco ( kat sini kalau korang jerit bergema tempat tu ) dan banyak tempat lagi. Ada lah dalam 8 buah pulau dia bawak sekiranya korang amik pakej 4 jam. Nak rasa mencabar naik lah jet ski.


Sampai dah kami ke Tasik Dayang Bunting ni. Kat sini lah kami parking jet ski kami. Kat atas tu korang boleh lepak kat cafe dia, nak swimming kat tasik pun boleh.

Lepas selesai tour kami, kami terus pulang dan lunch kat mekdi je. Time ni aku dah malas nak pikir nak lunch kat mana kedai makan best kat sini sebab badan habis basah dengan air laut. Dah fikir lepas lunch nak check in hotel Greenish je terus. Nak mandi nak rest. Macam itulah.


HARI KEEMPAT DI PULAU LANGKAWI - 26 DISEMBER 2021


1) Check out hotel dan breakfast di Warung Roti Canai Penarak, Kuah



Hari terakhir di Langkawi baru kami breakfast kat tempat lain. Warung sini terkenal dengan menu roti canai sarang burung dia. Seperti yang korang tengok dalam gambar nampak menyelerakan bukan. Sedap gila weh. Harga tak ingat pulak maybe dalam RM 6 rasanya. Selesai breakfast jom pergi airport. Panjang umur kami datang lagi ya Langkawi. Banyak lagi tempat kat sini kami belum explore. Masa tak mengizinkan dan bajet pun terhad. Tahun depan In Sha Allah.


Selesai itinerari. Basically ini antara aktiviti utama kami kat sana iaitu naik kereta kabel, mangrove tour dan jet ski tour. Overall we're having so much fun here considering that nak datang sini punyalah banyak sangat dugaan dan cabaran. Kalau nak citer tu panjang berjela. Rasa nak nangis pun ada sebab risau trip kitorang ni tak jadi lagi. Actually plan nak ke Langkawi ni dari tahun 2020 lagi tau. Tapi macam-macam kan jadi masa tu dengan PKPB, PKPD, PKP sepanjang tahun 2021. Akhirnya bila kerajaan umumkan bubbe travel Langkawi terus Kak Kelly ws sepupu plan balik trip kami.

By the way, Kak kelly memang in charge bahagian itinerari, survey tempat menarik, deal dengan agent and so on. Agak mencabar tau jaga bahagian ni but I'd do enjoyed the process. In Shaa Allah lepas ni kalau nak ke tempat lain boleh dah reti kut. Hihi.

Tunggu posting seterusnya ya.



You Might Also Like

0 comments

About Me

Like us on Facebook

Flickr Images